Sunday, February 7, 2021

RASA

 Aku, dahan yang rapuh. Menanti untuk luruh. Dalam ribut yang merempuh. Sehingga aku luluh. Menjadi serpihan yang hancur. Sampai tidak mampu bercantum.


Aku hati yang parah. Sakit dimamah amarah. Yang membunuh aku diam-diam. Kerana tidak mampu diluah. Terpendam umpama nanah. Yang membusuk menjadi busung. Sehingga meletup menjadi bangkai.


Aku jiwa yang lelah. Penat menahan rasa. Sampai aku terlupa. Tentang sebuah harga. Bernama diri yang empunya. Dan hilang akhirnya. Sehingga aku meraba. Dalam gelita lara. Yang melemaskan.


Aku senyum yang rebah. Sehingga jadi parah. Dah terus berpura. Untuk menjadi kuat. Namun sebenarnya tidak lebih. Sekadar patung yang ketawa. Sekadar menutup cela. Menutup rasa. Menutup asa yang kalah.


Sesungguhnya aku rapuh. Aku lemah. Aku kalah. Aku lemas akhirnya. Bertahan untuk merasa tabah. Akhirnya egoku musnah. Aku tidak lebih sekadar manusia biasa. Dengan sebanyak dosa. Dengan rasa tak berguna. Seperti sampah. Yang ingin dilihat cantik. Tapi tidak lebih asalnya adalah buangan yang tersisih.


Barangkali laraku itu dongeng. Barangkali tangisku itu topeng. Jika mereka tahu. Mereka juga ketawa. Menyalahkan aku. Mengutuk kebodohan sebuah pilihan. Mencerca satu kenaifan. Dari ribuan kelurusan. Yang sebetulnya sedang menghukumku diam-diam.


Kisahku tidak sempurna. Namun ingin sekali dilihat sempurna. Natijahnya ia menjadi beban. Yang tidak terceritakan. Ia menjadi terlalu sarat. Seperti empangan yang menakung lumut masaalah. Dan bila pecah. Ia bergumpal menjadi sula yang tajam. Menikam diri sendiri. Dan akhirnya melumatkan tenang. Menjadi tsunami yang bergelombang.


Aku tidak pandai bercerita bahasa biasa. Kerana yang biasa itu tidak mungkin menceritakan sebuah kisah yang panjang. Ia tersulam dalam ketawa dan tangisan. Dalam tenang dan perang. Dalam senyap dan bising. Bersilihan.


Aku tidak pandai mahu mengungkap rasa berkecil hati. Kerana seumur rasaku mensyukuri. Biar nikmat yang kecil. Berharap ada yang memahami. Untuk menjaga hati. Sayangnya diam ini tidak disedari. Kerana sering-sering ketawa dan senyum itu memijak aku dengan alasan reda. Padahal natijahnya aku yang terluka.


Sebanyak masa aku menjaga adab lidahku dari mencela. Mendengar sahaja. Menerima sahaja. Mengiakan. Merendahkan diri. Kerana tahu maksud satu ayat bernama kebodohan. Ya, kadangkala aku menjadi terlalu bodoh untuk menyayangi diri sendiri. Dan aku biarkan. Belati itu terusan menikam. Melukakan makin dalam.


Iya, itu aku. Boneka yang sudah hilang rasa. Apatah lagi harga. Maafkan aku. Kerana di hujung waktu ini. Aku telah tewas.


Lily Kamarruddin

No comments:

Post a Comment